Jumaat, 2 Mac 2012

Larangan Memakai Gelang Berloceng


Larangan memakai gelang berloceng

APAKAH hukum memakai gelang kaki dalam kalangan wanita Islam?

JAWAPAN:

Apabila seseorang wanita itu menjaga auratnya di hadapan bukan mahram, ia bukan sahaja menjaga maruah dirinya, malah menjaga wanita mukmin seluruhnya. Maruah dan harga diri wanita begitu tinggi dan bernilai.

Wanita Islam wajib menjaga auratnya seperti yang dijelaskan dalam firman Allah yang bermaksud: “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya, dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka, dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, bapa mereka, bapa mertua mereka, anak mereka atau anak tiri mereka atau saudara mereka, anak saudara lelaki mereka, anak saudara perempuan mereka, sesama perempuan Islam atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada wanita atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah kamu menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman supaya kamu berjaya.”

(Surah An-Nur :Ayat 31)

Menutup aurat bukan sekadar memakai tudung semata-mata, tetapi ia merangkumi aspek keseluruhan tubuh seseorang wanita. Haram bagi seseorang wanita mendedahkan aurat kepada lelaki yang bukan mahramnya seperti yang dijelaskan oleh ayat di atas. Perlu dijelaskan kerana kegagalan menjaga aurat menyebabkan ramai wanita dicampakkan ke dalam neraka.

Ini dijelaskan dalam sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Perempuan-perempuan yang memakai pakaian, tetapi masih seperti telanjang (mendedahkan aurat) sehingga memalingkan lelaki ajnabi ke atas mereka, kepala mereka seperti bonggol unta khurasan dan tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya pun.” (Riwayat Muslim)

Etika pemakaian menutup aurat yang sempurna adalah pakaian mestilah longgar, tidak ketat, tidak jarang, tidak nipis, tidak memakai wangian yang melampau dan tidak menyerupai pakaian orang kafir. Cara berpakaian yang amat membimbangkan kini apabila ramai kaum wanita Islam memakai tudung di kepala, tetapi berpakaian ketat dan nipis sehingga menampakkan bentuk tubuh.

Islam melarang wanita mukmin memakai gelang berloceng kerana ia akan mengeluarkan bunyian ketika bergerak. Ini boleh mendatangkan fitnah dan menarik perhatian orang lain seterusnya boleh mewujudkan pergaulan bebas yang dilarang dalam Islam seperti yang dijelaskan dalam ayat di atas.

Jauhi susuk ayat

APAKAH hukum memakai susuk dalam Islam? Bagaimanakah pula dengan susuk ayat?

JAWAPAN:

SUSUK ialah logam emas, perak atau besi yang amat kecil dan dimasukkan ke dalam tubuh seseorang yang kononnya untuk menjadikan seseorang itu kebal dan cantik supaya ramai yang jatuh hati atau takut kepadanya.

Hukum memakai susuk adalah haram dan dilarang kerana amalan sihir jelas bertentangan dengan Islam.

Islam meletakkan sihir sebagai salah satu daripada dosa besar yang perlu dijauhi. Seperti sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A yang bermaksud, jauhilah daripada tujuh dosa besar.

Mereka bertanya, wahai Rasulullah. Apakah dia? Sabda baginda: Syirik kepada Allah, mengamalkan sihir, membunuh diri yang diharamkan Allah kecuali dengan cara yang benar, memakan riba, memakan harta anak yatim, lari dari medan perang dan menuduh perempuan yang baik melakukan zina. (Sahih al-Bukhari )

Trend terkini yang mengelirukan masyarakat dengan mengatakan bahawa harus menggunakan susuk ayat yang diambil daripada ayat-ayat al-Quran untuk kelihatan cantik wajib dijauhi.



Sesungguhnya Allah telah menjadikan manusia dengan sebaik-baik kejadian dan manusia perlu menghargai nikmat kurniaan-Nya. Janganlah kerana sedikit kesenangan dunia yang sementara menyebabkan kita mendapat kesusahan di akhirat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan